Tuesday, March 11, 2008

Sekitar Pengumuman STPM 2007

Muhd. Izzat pelajar Melayu terbaik Melaka


(dari kiri) Pravesh Arjan, Chan Hwe Cheng, Lee Huan Yin dan Muhd. Izzat Ithnin yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM menunjukkan sijil dan slip keputusan peperiksaan mereka di Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA 11 Mac – Walaupun berasal dari keluarga yang sederhana, ia tidak menghalang Muhd. Izzat Ithnin, 19, muncul sebagai satu-satunya pelajar Melayu di negeri ini yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007.

Muhd. Izzat yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka di sini mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Ekonomi, Sejarah dan Bahasa Malaysia dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 mata.

Dia merupakan satu-satunya pelajar Melayu daripada 44 pelajar di 23 buah sekolah di Melaka yang mendapat keputusan itu dalam peperiksaan STPM lepas.

Menceritakan tentang rahsia kejayaannya, Muhd. Izzat berkata, dia menjadikan buku dan teman sekolah sebagai rujukan untuk mata pelajaran yang lemah.

“Setiap hari, saya akan terus berada di sekolah sehingga pukul 4 petang untuk mengulang kaji pelajaran.

“Sampai sahaja di rumah, saya akan berehat sambil menonton rancangan televisyen yang berunsur pengetahuan sebelum menyambung semula belajar dari pukul 8 hingga 10 malam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya lagi, dia cuma meluangkan masa untuk berehat sepanjang hari setiap Jumaat untuk aktiviti riadah bersama keluarga.

“Dengan kawan, saya cuma bersosial sebulan sekali seperti bermain boling,” katanya yang bercadang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang perundangan selepas ini.

Rakannya, A. Pravesh, 19, yang mendapat keputusan sama berkata, kejayaannya itu ekoran cara mengulang kaji dalam suasana yang santai.

“Saya mengulang kaji sambil rileks, tidak perlu terlalu cepat untuk mengingati apa yang dipelajari tetapi mengulanginya berkali-kali sehingga saya ingat dengan sendirinya.

“Saya bukan jenis yang cepat ingat, sebab itu saya kena ulang kaji tujuh jam sehari,” katanya yang gemar bermain bola sepak dan badminton setiap petang.

Bagi Chan Hwee Cheng, 19, kehilangan dua insan disayangi, ibunya yang meninggal dunia ketika berusia sembilan tahun dan bapa ketika di tahun empat tidak menghalangnya mengejar cita-cita menjadi seorang peguam.

“Selepas kematian kedua-dua orang tua, saya cuma bergantung hidup pada kakak dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membantu persekolahan empat adik beradik yang lain.

“Setiap hari, saya akan mengulangkaji selama lapan jam dan bekerja sambilan sebagai jurujual pada setiap hujung minggu untuk membantu keluarga,” katanya.


‘Kami mahu jadi doktor’

ALOR STAR 11 Mac – Pasangan kembar seiras Lim Sheau Ing dan adiknya Lim Sheau Yng, 19, tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 yang diumumkan hari ini.

Menurut Sheau Ing, dia berjaya mendapat A bagi subjek Pengajian Am, Matematik Tambahan, Biologi dan A- bagi subjek Kimia manakala adiknya berjaya mendapat A bagi subjek Matematik Tambahan serta Biologi dan A- bagi subjek Pengajian Am dan Kimia.

Berikutan keputusan cemerlang itu, mereka sudah pun memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

“Kami berharap akan dapat belajar di universiti yang sama kerana kami amat rapat,” katanya kepada Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di sini.

Kata Sheau Ing, mereka sentiasa mendapat galakan keluarga termasuk bapa mereka yang merupakan seorang mekanik menyokong penuh cita-cita mereka untuk menjadi doktor.

“Setiap malam kami akan belajar bersama. Saya tidak boleh menumpukan perhatian jika adik saya tiada di sisi kerana kami tidak pernah berenggang sejak kecil.

“Saya mahu terus belajar bersama adik saya dalam bidang perubatan nanti dan mengharapkan impian kami akan tercapai,”katanya.

Jelasnya, mereka juga terlibat secara aktif dalam bidang kokurikulum dan amat meminati sukan futsal.


Kesusahan jadi inspirasi Chiu Huay

MACHANG 11 Mac – Anak seorang penoreh getah di Kampung Belukar Panjang di sini, Kua Chiu Huay diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi negeri Kelantan.

Bagi Chiu Huay, 19, (gambar) kemiskinan keluarganya tidak menghalangnya daripada belajar dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan, sebaliknya ia menjadi pendorong kuat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini, yang memperoleh Lima Prinsipal A itu memberikan tumpuan penuh sepanjang tempoh pembelajaran dalam bilik darjah.

“Apabila tidak faham saya terus bertanya kepada guru dan akan mengulang kaji setiap pelajaran di rumah pada sebelah malam dengan menggunakan kaedah menulis nota ringkas,” katanya.

Sementara itu, ayahnya, Kua Bon Seng, 48, berkata, anaknya amat gigih mengulang kaji pelajaran walaupun pada masa sama, terpaksa juga menolongnya menoreh terutamanya pada waktu cuti sekolah.

Mereka berdua ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM 2007 di SMK Hamzah di sini yang diisytiharkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Ismail Md. Noor.

Seorang lagi pelajar cemerlang STPM, Noradilah Othman dari SMK Putra, Kota Bharu berkongsi kejayaannya dengan selalu mengadakan perbincangan berkumpulan setiap hari selepas waktu persekolahan.

“Saya kebiasaannya bersama dengan rakan lain akan berada di sekolah sehingga waktu petang untuk mengadakan perbincangan dan kadang-kadang ada juga guru dan pengetua yang bersama dengan kami.

“Pada sebelah malam pula, saya akan memperuntukkan waktu sehingga tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran,” kata anak kepada Penyelia syarikat Air Kelantan cawangan Kubang Kerian.

Bagi seorang lagi pelajar cemerlang, Mohd. Saiful Faizal Mohd. Zin, selain mengulang kaji pelajaran, dia sering diingatkan oleh kedua ibu bapanya agar menghormati dan menghargai para guru yang gigih mendidik.

“Saya selalu ingat pesan mereka, walau setekun mana kita belajar tetapi sekiranya tidak mendapat restu daripada guru, maka ilmu yang diperoleh itu tidak membawa keberkatan,” katanya.


Kecacatan bukan halangan

KUALA LUMPUR 11 Mac – Bagi seorang pemuda S. Saravanan, 21, disisih oleh keluarga sendiri disebabkan kecacatan diri tidak melunturkan semangatnya untuk mengecapi kejayaan dalam bidang akademik.

Malah, beliau berjaya membuktikannya apabila mencatatkan keputusan 2A dan 3B pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 yang diumumkan di seluruh negara hari ini.

Saravanan yang berasal dari Kulim, Kedah, yang dilahirkan spastik dan dipinggirkan ibu-bapanya kira-kira tiga tahun lalu.

Ketika itu, pemuda berkenaan merayau-rayau tanpa tujuan dan meminta makanan di sebuah restoran di bandar Kulim sebelum ditemui oleh seorang penjaga sebuah rumah anak yatim, N. Kamalavathy.

“Saya bangga dengan Saravanan hari ini kerana dia mampu membuktikan bahawa orang sepertinya boleh membina hidup sendiri walaupun tidak sempurna dan dipinggirkan keluarga,” kata Kamalavathy.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi Saravanan pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2007 dan Anugerah Pelajar Cemerlang, di sini hari ini.

Saravanan merupakan antara 16 penerima Anugerah Pelajar Cemerlang berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi menghargai kecemerlangan mereka dalam STPM.

Sementara itu, bagi Noor Izati Meor Samsudin, 20, yang mengalami cacat penglihatan tidak menyangka akan dipilih menjadi pelajar cemerlang pada tahun ini.

“Ini semua berkat doa ibu bapa serta guru-guru saya,” kata anak kelima daripada enam beradik ini yang mendapat 2A, 1B dan 2C dalam STPM.

Bagi Noor Izati, kecacatannya tidak pernah dijadikan penghalang daripada terus berusaha sehingga berjaya.

BHARIAN

Cacat bukan penghalang cemerlang dalam STPM

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Zabidi Hitam, Khairina Yasin, Noor Azlina Zainudin dan Umi Nadirah Abdul Rahman

Noor Izati, Muhammad Marwan dan Saravanan terima anugerah

KECACATAN penglihatan dan spastik bukan penghalang kepada tiga calon istimewa mencapai kejayaan sehingga dinobatkan sebagai antara penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007, semalam.

Pelajar terbabit ialah Noor Izati Meor Samsudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Kuala Lumpur, yang menerima anugerah calon istimewa cemerlang bagi kategori buta, Muhammad Marwan Mohd Tanos dari Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru (rabun), dan Saravanan a/l Sagadevan dari SMK Chio Min, Kulim (spastik).

Mereka ialah sebahagian daripada 16 calon menerima APC STPM 2007, selain dua pelajar lagi yang cemerlang dalam ujian Malaysian University English Test (Muet) 2007, dengan masing-masing diberi ganjaran berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan plak.


Noor Izati, 20, ketika ditemui berkata, dia yang cacat sejak lahir, tidak berasa janggal atau tersisih daripada masyarakat. Baginya kecacatan bukan penghalang mencapai kejayaan.

"Saya sentiasa bergaul dengan pelajar normal di sekolah kerana mereka senang mendapat maklumat, khususnya berkaitan pelajaran.

"Malah, saya mengamalkan perbincangan dalam kumpulan dengan mereka. Lagipun di Tingkatan Enam, guru banyak memberi kerja berkumpulan di mana rakan normal membantu mencari maklumat, manakala saya pula berperanan menaipkan menggunakan komputer yang dilengkapi teknologi pembaca skrin," katanya.



kosmo

Pelajar terbaik STPM rajin tulis nota


WAN AHSANI FADHILAH menunjukkan slip keputusan STPM di SMKA Sheikh Abdul Malek di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Rajin tulis nota pelajaran akhirnya menjadi pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri Terengganu.

Itulah ganjaran buat anak seorang guru, Wan Ahsani Fadhilah Wan Mahmud, 20, yang mendapat keputusan 5A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Usuluddin dan Sejarah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini, berkata, dia menggunakan kaedah menulis nota dalam setiap subjek yang diambil bagi memudahkannya mengulang kaji pelajaran.

"Saya tak mengulang kaji secara berkumpulan tetapi saya sering bertukar nota dengan rakan-rakan," katanya ketika ditemui di sekolahnya semalam.

Pelajar itu melahirkan rasa syukur selepas segala usahanya mengulang kaji pelajaran berbaloi.

"Saya tidak menyangka akan mencapai keputusan ini kerana bagi saya mata pelajaran Bahasa Arab agak sukar," katanya yang mendapat 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Anak sulung daripada sembilan beradik itu berkata, kejayaan yang dicapainya itu didorong oleh ibu bapa dan guru-guru.

"Saya bertekad belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi contoh kepada adik-adik dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik," katanya sambil ditemani ibu, Zafnida Yasin, 42.

Wan Ahsani Fadillah turut melahirkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Zafnida berkata, anaknya itu memang 'ulat buku' sejak kecil dan lebih suka mengulang kaji pelajaran seorang diri di dalam bilik selepas pulang dari sekolah.



Doa mudah ingat dan susah lupa- Jadi rahsia pelajar cemerlang STPM


SAIDAH Nafisah (kiri) berkongsi kegembiraan bersama dua rakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al- Mashoor di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Mengamal dua doa setiap hari merupakan rahsia Saidah Nafisah Mohd. Firdaus, 20, mendapat keputusan cemerlang dengan 5 Prinsipal A dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumum semalam.

"Dua doa yang saya amal setiap hari iaitu doa mudah ingat dan doa susah lupa selain kerap mendapatkan kaunseling untuk menambahkan motivasi diri.

"Paling penting jangan tinggal sembahyang dan hormat ibu bapa serta guru-guru," katanya apabila ditanya rahsia kejayaannya.

Pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor (Perempuan) itu merupakan antara enam pelajar terbaik Pulau Pinang yang mencatatkan keputusan lulus kesemua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Anak sulung daripada enam beradik itu mengambil Aliran Sastera dan memperoleh keputusan 3A dan 2A- dalam mata pelajaran Syariah, Usuluddin, Sejarah, Bahasa Arab dan Pengajian Am.

"Perasaan saya bercampur terkejut dan gembira, keputusan yang saya peroleh melangkaui sasaran saya sebelum ini iaitu 4A," katanya.

Saidah Nafisah yang menyimpan impian untuk menjadi Penterjemah Bahasa, berhasrat menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebanyak 4,259 calon di Pulau Pinang yang mengambil STPM pada tahun 2007 berbanding 4,171 calon tahun 2006.

Daripada 35 buah sekolah, hanya enam buah sekolah mencatatkan lulus sepenuhnya iaitu SMKA (P) Al-Mashoor, SMK Mutiara Impian, SMJK Chung Hwa Confucatin, SMJK Chung Ling Pulau Pinang, SMKA Al-Mashoor Lelaki dan SMKA Al-Irshad.



Anak penoreh getah terbaik STPM Kelantan


Chiu Huay (kanan) menunjukkan keputusan STPM kepada ibu dan bapanya di kebun getah mereka di Kampung Belukar Panjang, Temangan di Machang semalam.


MACHANG - Fokus kepada pelajaran di kelas kunci kejayaan Kua Chiu Huay, 20, apabila beliau diumumkan pelajar terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 Negeri Kelantan yang diumumkan semalam.

Anak kepada penoreh getah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah, Machang itu mendapat 5A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya dengan memperolehi Pencapaian Nilai Gred Keseluruhan 4.0.

Beliau yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya dan bercita-cita menjadi pensyarah di bidang ekonomi menjadikan guru sebagai tempat rujukan utama selain membuat ulang kaji bersama rakan-rakan.

"Saya hanya mengulang kaji pada waktu malam sahaja di rumah tanpa mempunyai jadual khusus kerana perlu menolong ibu bapa di rumah.

"Selain itu, rehat yang cukup juga perlu dan jangan terlalu memaksa diri untuk belajar kerana ia boleh memberi tekanan," ujar anak kepada pasangan Kua Bon Seng, 48, dan Tiu Bee Yeong, 42, dari Kampung Belukar Panjang, Temangan dekat sini.

Bersama sembilan pelajar lain termasuk empat dari sekolah yang sama, Chiu Huay menerima keputusan peperiksaan berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Ismail Md. Noor.

Sementara itu, Ismail dalam sidang akhbarnya memberitahu, peratusan kelulusan peperiksaan STPM kali ini meningkat kepada 93.49 peratus dengan 40 sekolah mendapat kelulusan melebihi 90 peratus.

Ujar beliau, secara keseluruhan pencapaian 6,222 calon STPM Kelantan termasuk 1,048 calon sekolah swasta dan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada tahun lepas adalah lebih baik berbanding sebelumnya.

"Walau pun jumlah calon mendapat 5P hanya 1,157 orang atau 18.6 peratus iaitu menurun kepada 1.5 peratus, tetapi ia masih mengatasi jumlah peratusan kebangsaan iaitu dengan perbezaan 12.66 peratus.

"Bagaimana pun, seramai 1,742 calon mendapat 4P meningkat sebanyak 0.89 peratus dengan 12 sekolah bantuan penuh kerajaan memperolehi keputusan lulus 100 peratus berbanding 11 pada peperiksaan terdahulu," katanya.




No comments:

www.norhisham.com

Tips Mengulangkaji Hari Peperiksaan

Mengimarahkan Bulan Ramadan

::Cemerlang Di IPT ::

LinkWithin